Isnin, 2 Ogos 2010

PERGAULAN BEBAS

Sejak mutakhir ini,ramai remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas.Tambahan pula,dalam era serba moden ini pergaulan para remaja semakin tidak terbatas.Mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa memikirkan masyarakat sekeliling.Pergaulan bebas dapat didefinisikan sebagai pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tanpa batasan.Namun begitu,pada masa ini pergaulan bebas tidak terbatas antara lelaki dan perempuan sahaja malah perhubungan antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan juga boleh mengundang terjadinya masalah sosial dalam masyarakat masa ini.Terdapat banyak faktor yang mendorong remaja ini terlibat dengan masalah sosial.




Kurang didikan agama dan moral yang mantap akan menjadikan daya pertimbangan golongan remaja tidak waras lalu gagal dalam membezakan yang mana intan dan yang mana satu kaca serta hitam putih sesuatu yang ada dalam dunia ini.Pada zaman ini,terdapat ramai ibu bapa yang kurang menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak mereka.Terdapat segelintir ibu bapa masa ini lebih mementingkan ilmu duniawi berbanding ilmu ukhrawi.Mereka sanggup menghabiskan wang beratus-ratus ringgit dalam masa sebulan bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti tuisyen yang terbaik.Namun begitu,terdapat juga ibu bapa yang telah menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama tetapi anak-anak ini berubah pergaulan mereka sebaik sahaja melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.Mengapakah hal ini berlaku?Hal ini adalah kerana para remaja ini tidak berusaha menerapkan nilai-nilai agama yang telah dipelajari dalam diri masing-masing.
Hal ini menyebabkan mereka mudah sahaja terlibat dengan pergaulan bebas.

Faktor lain yang menyebabkan remaja masa ini terlibat dengan pergaulan bebas ialah kesibukan ibu bapa bekerja.Ibu bapa pada zaman ini ramai yang bekerja dan terlibat dengan perniagaan-perniagaan besar sehingga ada yang terpaksa bekerja di luar negara.Kesibukan ibu bapa ini telah menyebabkan anak-anak terbiar dan mereka akan berasa bosan dan sunyi apabila berada di rumah.Oleh hal yang demikian,anak-anak ini keluar mencari teman-teman yang boleh mengubat kesunyian mereka.Oleh itu,tidak hairanlah anak-anak masa ini lebih rapat dengan kawan-kawan mereka berbanding ibu bapa sendiri.Bagi mereka,teman-teman lebih memahami mereka dan akan membantu sekiranya mereka mempunyai masalah berbanding ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja.Hal ini telah menyebabkan anak-anak berasa kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa sendiri.


Di samping itu,terdapat juga faktor lain yang menyebabkan para remaja ini terlibat dengan pergaulan bebas.Kemajuan teknologi pada zaman ini telah memudahkan masyarakat umumnya menonton pelbagai genre cerita yang ditayangkan di pawagam,televisyen mahu pun internet.Kebanyakan filem dan drama yang ditayangkan memaparkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tiada batasnya terutamanya filem-filem dari negara barat.Filem-filem ini bukan sahaja memaparkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan malah turut memaparkan pelakon yang tidak mematuhi etika berpakaian.Filem-filem dan drama seperti ini turut diterbitkan oleh pengarah-pengarah Malaysia.Filem-filem yang memaparkan kisah bohsia,mat rempit dan sebagainya banyak mempengaruhi remaja masa ini untuk terlibat dalam pergaulan bebas.Sayang seribu kali sayang,remaja yang merupakan pelopor yang bakal memegang pucuk kepimpinan negara dan diharapkan akan menerajui negara kita ke ambang kemajuan masih tersadai di lembah petaka sosial.


Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul ekoran daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan ini.Antara kesan yang paling dibimbangi ialah terjadinya seks bebas dan penzinaan antara golongan ini.Akibat daripada penzinaan ini,lahirlah anak-anak luar nikah yang tidak berdosa.Perkara yang paling menyayat hati adalah apabila terpampangnya berita berkaitan pembuangan bayi yang semakin berleluasa di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen.Hal ini berlaku berkemungkinan akibat perasaan malu atau tiada rasa belas kasihan dan tanggungjawab ibu bapa bayi berkenaan.Baru-baru ini,seorang bayi perempuan telah ditemui di tempat menunggu bas berdekatan Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.Namun begitu,terdapat banyak lagi kes pembuangan bayi yang lebih menyayat hati seperti bayi dibuang di dalam lubang tandas,mayat bayi digonggong anjing dan sebagainya.




Antara impak negatif lain yang akan timbul akibat daripada pergaulan bebas ini ialah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.Akibat daripada pergaulan anak-anak yang terlalu bebas,mereka mudah sahaja berkawan dengan individu-individu yang tidak dikenali.Para remaja masa ini amat terdedah kepada kumpulan-kumpulan yang tidak baik seperti kumpulan 'mat rempit',gangster dan sebagainya.Hal ini menyebabkan golongan remaja ini berubah sikap dan kelakuan mereka.Terdapat ramai remaja yang terlibat dengan kumpulan yang tidak berfaedah ini sudah berani melawan kata ibu bapa mereka terutamanya apabila ditegur.Mereka akan memberontak dan memarahi ibu bapa sekiranya kemahuan mereka tidak dituruti.Malah, tidak kurang juga ada anak-anak yang sudah berani mencuri wang ibu bapa sendiri untuk keperluan yang tidak berfaedah.Dalam konteks yang sama,ubun-ubun remaja yang masih lembik menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh rakan yang runtuh akhlak sehingga mereka gagal dalam membezakan dosa dan pahala ketika melakukan sesuatu.


Masalah pergaulan bebas ini dapat diatasi sekiranya langkah-langkah yang proaktif dilakukan.Ibu bapa perlulah meluangkan lebih masa bersama dengan anak-anak.Hal ini demikian adalah untuk memastikan anak-anak tidak meluangkan masa yang terlalu banyak bersama rakan-rakan mereka.Oleh hal yang demikian,ibu bapa akan lebih rapat dengan anak-anak dan dapat berkongsi masalah yang mereka hadapi.Golongan remaja yang dalam belasan tahun ini memang dahagakan kasih sayang yang manis daripada orang tersayangnya.Di samping itu,cara ini juga akan membuatkan anak-anak akan kurang berpeleseran dengan kawan-kawan yang hanya akan membuang masa mereka.Selain itu,melalui hubungan rapat ini ibu bapa mudah mengenali dengan lebih dekat kelakuan dan sikap rakan anak-anak mereka.Hal ini boleh mengelakkan anak-anak daripada berteman dengan individu-individu yang terlibat dengan masalah sosial.


Demi melahirkan golongan remaja yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, didikan agama yang sempurna tidak harus dipandang enteng dan harus disemai sejak kecil.Hal ini kerana golongan tersebut ibarat seperti pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara.Dalam menerapkan nilai-nilai agama dalam diri anak-anak,golongan ibu bapa seharusnya menampilkan gerak-geri dan menjadi idola yang positif kepada anak-anak yang masih dalam usia setahun jagung.Allah ada berfirman yang bermaksud "anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih,terpulang kepada ibu bapanya untuk mencorak mereka sama ada menjadi Yahudi,Kristian atau Nasrani."Berdasarkan firman ini,jelaslah bahawa didikan agama amat penting.Melalui didikan agama yang telah diterapkan,anak-akan menjaga batas pergaulan mereka bersama teman-teman.Melalui ajaran Islam juga,perkara mungkar seperti penzinaan,kes buang bayi dan sebagainya dapat dielakkan.Allah telah berfirman,"Dan janganlah kamu menghampiri zina,sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan jalan yang jahat."(Surah al-Isra'-17:32)


Kesimpulannya,pergaulan bebas dalam kalangan remaja kini banyak memberi keburukan berbanding kebaikan.Sebenarnya,usaha yang komprehensif dan proaktif untuk membanteras pergaulan bebas ini boleh direalisasikan seandainya ada pengemblengan tenaga dalam kalangan ahli masyarakat.Oleh hal yang demikian,semua pihak terutamanya ibu bapa,sekolah malah kerajaan sendiri perlulah mengambil inisiatif yang sesuai bagi mengatasi masalah ini.Hal ini demikian adalah untuk mengelakkan perkara mungkar daripada terus berleluasa sehingga boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkemuka di dunia. 


Disediakan oleh : Siti Rokhiyah 205974

Tiada ulasan:


Layout by Izzat Khairani. Powered by Blogger