Isnin, 9 Ogos 2010

GEJALA SOSIAL 'MAT REMPIT'

Pelumba motosikal haram atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ bukanlah merupakan satu isu yang baru memandangkan gejala ini telah wujud sekian lama di jalan raya di negara ini.Gejala ‘rempit’ sering kita lihat tertumpu di ibu kota,bandar raya,kampung dan hampir kesemua negeri di Malaysia.Statistik polis menunjukkan bahawa majoriti mereka yang terlibat adalah remaja  berusia belasan tahun dan awal 20-an menunggang motosikal dengan cara berbahaya dengan mempamerkan aksi berani mati mereka yang dirakam,dimuat turun di laman web internet seperti aksi ‘wheelie’,berdiri,terbaring terlentang selagak superman dan sebagainya yang amat dibanggakan oleh mereka.Walau bagaimanapun,bukan sahaja mat rempit  menjadi peragut,kaki lepak,perogol,penagih dadah,malahan, gadis belasan tahun juga  turut terjebak sebagai minah rempit, pelacur dan sebagainya.






Apakah mat rempit sudah semakin berani untuk melanggar undang-undang? Gagalkah penguatkuasaan pihak polis membendung masalah ini? Selepas reda dengan isu bohsia,buli,meledak pula isu mat rempit ini diikuti isu penyalahgunaan dadah,pil khayal,rogol,gangsterisme dan sebagainya.Kemelut mat rempit ini bukanlah satu isu yang mudah untuk ditangani.Sebagaimana isu sosial yang lain,mencari kesalahan dan meletakkan kesilapan itu pada individu tertentu tidak dapat mengatasi masalah remaja yang timbul akibat tekanan dan permasalahan yang wujud di persekitaran.Punca-punca kemelut sosial ini saling berkait rapat dan sukar untuk memastikan punca sebenar yang menjadi dalang kepada isu ini.Antara yang menjadi punca kepada gejala rempit ini ialah sikap individu itu sendiri dan pengaruh daripada rakan sebaya.Remaja merempit untuk mencari keseronokan,kepuasan,kemahsyuran,wang dan perempuan dengan hanya berbekalkan RM 4 ringgit untuk minyak dan keberanian  untuk beraksi sama ada untuk mendapat habuan lumayan berupa wang dan perempuan.Kemalangan jiwa tidak menjadi  halangan untuk mereka  merempit bahkan,bukan sedikit rakan yang telah cedera dan maut tetapi kerana seronok,bukanlah menjadi masalah kepada mereka.Malah ada yang berbangga dengan parut dan berapa kerat tulang yang patah.


Era modenisasi kini juga merupakan faktor tercetusnya gejala ini dari segi perubahan hidup,ekonomi,institusi keluarga dan masyarakat adalah harga untuk sebuah kemodenan.Perubahan cara hidup dan corak asuhan mempengaruhi sikap remaja untuk turut terlibat dalam isu ini.Dunia yang makin moden tanpa sempadan ini memungkinkan pelbagai unsur negatif diserap ke jiwa remaja.Kesibukan ibu bapa dalam mengejar kemewahan sehingga mengabaikan anak-anak di rumah.Kasih sayang yang hilang,jiwa yang kosong dan pelbagai godaan di luar menawan remaja untuk merempit menjadi alternatif yang ada untuk menghilangkan kebosanan dan ketegangan di rumah untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka.


Antara langkah proaktif yang perlu dilakukan untuk membanteras gejala ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata,malah pihak lain seperti badan bukan kerajaan(NGO),parti-parti politik,ahli masyarakat dan ibu bapa haruslah berganding bahu dan perlu memainkan peranan masing-masing.Antaranya ialah dengan memantapkan institusi keluarga dan komuniti dengan menerapkan nilai-nilai murni dan kesedaran sivik seperti Program Latihan Khidmat Negara(PLKN),Kursus Bina Insan, Program Rakan Muda dan sebagainya untuk menggalakkan amalan hidup sihat dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek kepada remaja.Di samping itu,langkah terbaru sebuah parti politik untuk menaikkan imej mat rempit tidak harus dipandang ringan.Ia bertujuan untuk mendekati golongan mat rempit ini dengan mengenal pasti masalah mereka dan menyediakan satu ‘platform’ aktiviti berfaedah yang menyeronokkan.Sebagai contohnya,Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan kemudahan litar lumba sebagai kaedah terbaik untuk membanteras gejala mat rempit di kalangan remaja yang berleluasa kini.


Tindakan tegas,hukuman dan denda yang setimpal perlu diberi kepada mat rempit yang terlibat dalam perlumbaan haram juga merupakan langkah efektif untuk menangani masalah ini.Cadangan untuk merampas motosikal serta menggantung lesen mereka yang terlibat dalam lumba haram merupakan antara cadangan yang akan dimasukkan ke dalam pindaan undang-undang memberi isyarat yang nyata bahawa kerajaan memandang serius isu lumba haram ini dan tidak teragak-agak mengambil langkah drastik untuk menangani masalah ini.Namun demikian,peranan ibu bapa juga  memainkan peranan penting untuk menjayakan usaha tersebut dalam mendidik dan membina peribadi  anak-anak mereka disamping pengajaran atau hukuman yang setimpal kepada pelumba haram,penonton dan penganjur kegiatan berbahaya itu juga bakal menerima hukuman sewajarnya seperti hukuman penjara dan mandatori kepada pelumba haram tidak melebihi lima tahun atau denda antara RM 5000 hingga RM 15000 jika disabitkan kesalahan.


Kesimpulannya,pembabitan semua pihak bagi mengawal masalah yang tidak berkesudahan ini daripada terus menular perlu dilaksanakan segera oleh semua pihak termasuklah kerajaan,(NGO),ibu bapa dan ahli masyarakat harus berganding bahu dan perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh rasa empati,mengambil pendekatan terbaik,penguatkuasaan yang berterusan mampu membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi untuk memberikan kesedaran kepada mereka yang terbabit daripada terjebak atau menjadi mangsa kepada keghairahan mereka sendiri yang akan merosakkan masa depan serta akan memudarkan wawasan 2020


Hasil nukilan:Harisun 205930

Tiada ulasan:


Layout by Izzat Khairani. Powered by Blogger