Rasuah dapat disimpulkan dalam bahasa mudah difahami iaitu perbuatan memberikan suapan dalam bentuk wang atau keistimewaan tertentu kepada penerima rasuah dengan memenuhi permintaan pemberi rasuah berkenaan. Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak dipatuhi dengan sepenuhnya maka gejala rasuah dan ketidakadilan akan berleluasa. Agama islam juga melarang umatnya terlibat dalam gejala rasuah seperti sabda Rasulullah “penerima dan pemberian rasuah akan ditempatkan dalam api neraka”. Hal ini membuktikan islam melarang perbuatan keji ini dan bukan sahaja terbatas kepada penerima rasuah semata-mata malah pemberi dan sesiapa yang bersubahat dalam gejala rasuah ini.
Mengapa fenomena ini terjadi? Punca utama berlakunya fenomena ini ialah terlalu mengejar material. Hal ini bukan bermaksud harta tidak perlu dicari tetapi perlu adil antara pencarian harta dunia dan akhirat. Pada era globalisasi ini, manusia lebih sibuk mencari duit sehingga sanggup melakukan perkara yang ditegah oleh agama dan undang-undang iaitu rasuah. Perkara ini perlu dibendung kerana mereka yang mencari harta sebegini akan menyebabkan berlakunya penindasan terhadap insan yang lemah. Selain itu, pengejaran material semata-mata juga sering menyebabkan seseorang itu lalai menunaikan tanggungjawab sosial sama ada terhadap keluarga mahupun masyarakat. Selain itu kemodenan sesebuah negara juga menyebabkan rasuah berlaku. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan yang semakin rancak menyebabkan pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat akan mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak mungkin. Kepesatan pembangunan ini memperlihatkan kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman jika gagal atau lambat menyiapkan sesuatu projek.
Kesan yang ketara dapat dilihat di sini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya ,gejala ini menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kebajikan masyarakat dan ketenteraman negara. Dengan kadar jenayah yang meningkat, pembangunan sedikit sebanyak akan terganggu. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang ramai terhadap kepimpinan negara kita. Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, pemerintah akan kehilangan hasil yang sepatutnya diterima. Contohnya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.
Langkah yang drastik perlu diambil segera iaitu memantapkan iman dan jati diri. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling kuat untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu benci akan rasuah sama ada rakyat biasa, kakitangan kerajaan atau pemimpin secara amnya, maka amalan rasuah dapat diatasi ke akar umbi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis gejala rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata. Selain itu, melalui sistem pendidikan di sekolah dan di pusat-pusat pengajian. Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja.Sistem pendidikan juga akan membentuk generasi seterusnya yang bebas daripada gejala rasuah. Seterusnya meningkatkan penguatkuasaan undang-undang. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibanteras dengan segera untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir panjang sebelum cuba untuk aktif dalam gejala rasuah ini lantaran takut menerima hukuman berat yang bakal diterima.
Kesimpulannya, kita berharap semua pihak terus memberi sokongan padu kepada usaha menangani gejala rasuah ini bagi memantapkan lagi pentadbiran supaya pengurusan yang dijalankan telus dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat. Pentadbiran yang telus dan cekap amat penting bagi menerajui negara ini melepasi risiko ekonomi yang sering melanda. Kerjasama yang diberikan di harap dapat menghakis gejala rasuah ini dari terus berlaku pada masa akan datang.
dikarang oleh:-NURSELLA 205929
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan